Permainan kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat melayu di negara ini. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan permainan wau dan wayang kulit, kuda kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Kehalusan seninya begitu terpelihara walaupun arus kemodenan begitu ketara dalam beberapa aspek kebudayaan.
Salah seorang pencinta permainan ini di Pt. Kemang Muar ialah En.Margono bin Hj. Anuar atau lebih mesra dipanggil "Wak Gono". Beliau sudah lama berkecimpung dalam permainan kuda kepang tetapi faktor usia menyebabkan beliau terpaksa melupakan permainan ini. Permainan kuda kepang disebarkan kepada rakan-rakan serta orang-orang kampung dan hingga kini di Kampung Parit Kemang sudah mempunyai sebuah persatuan "Persatuan Kuda Kepang Pt. Kemang Muar". Menceritakan sejarah awal, beliau yang kini berusia 80 tahun menyatakan kuda kepang berasal dari Tanah Jawa Indonesia dan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh rakyat Indonesia yang berhijrah ke negara ini. Pada mulanya ia hanya permainan biasa seperti "Sepak Raga". Namun sambutan dari penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke sebuah kampung.
Pada zaman sekarang, permainan kuda kepang dimainkan di majlis perkahwinan atau sesuatu majlis keramaian. Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang dimana 9 orang menari, 5 orang pemain muzik, 15 orang penjaga kawasan dan dua orang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih". Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang". Pakaian permainan pula biasanya seragam.
Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak boleh dikawal.
Namun pantang larang yang utama ialah tidak boleh melihat kain berwarna merah kerana ia adalah pantang larang semula jadi. Selain itu tidak boleh terlihat atau melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain.
Apabila muzik mula bergema, maka masuklah pemain-pemain yang dipimpin oleh "danyang" memasuki gelanggang. Pemain-pemain akan menari menurut rentak dan irama lagu. Tiap-tiap penari akan menunggang atau memacu kuda anyaman(kuda kepang). Tarian yang kerap dipersembahkan dalam sesuatu majlis tarian kuda kepang ialah Tarian Solo, Tarian Selendang, Tarian Pucuk Rebung dan Tarian Kuda Kepang dinamakan "Lenggang Kiprah". Penari-penari menari sehingga mabuk atau tidak sedarkan diri selama 2 jam. Keadaan ini disebut sebagai "naik syeh".Mereka boleh melakukan perbuatan atau gerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi 6 kaki dan sebagainya. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya.
Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang. Jika keadaan bertambah liar, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, seterusnya dijampi. Penari-penari itu akan dipulihkan semula oleh Tok Bomoh dan kembali normal seperti biasa.
Menurut keterangan pemain kuda kepang yang mengalami kejadian seperti ini,ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik itu. Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-lat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh 'rohnya'. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri
KEPERCAYAAN MENGENAI KUDA KEPANG
Kuda Kepang dipercayai dikuasai oleh kuasa ghaib, dimana perkara buruk boleh menimpa pemain dan [penonton semasa tarian Kuda Kepang dipersembahkan.
Bagi menangani perkara yang tidak diingini daripada berlaku, 1 upacara khas perlu dilakukan sebelum tarian dimulakan.
Ia bermula dengan istiadat memuja roh.
Kemudian, menjampi untuk istiadat buka gelanggang yang berukuran 40m x 60m.
Akhir sekali, sediakan sajian untuk penunggu. Sajian terdiri daripada kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarung, benang, ayam, padi, telur dan bunga rampai.
FAKTA MENARIK TENTANG KUDA KEPANG
Selalunya terdapat beberapa pemain yang naik sheikh ketika tarian sedang dipersembahkan. Pemain ini akan membuat perkara yang tidak boleh dibuat oleh orang yang waras seperti meniti di atas seutas tali.
Bunyi-bunyian pengiring perlu terus dimainkan. Jika bunyi-bunyian itu diberhentikan, pemain akan naik marah dan akan menerkam pengiring.
Jika pemain tersebut bertindak diluar kawalan dan semakin liar, pengawal akan menangkap pemain tersebut dan bomoh akan membaca mantera pada ubun-ubun dan telinga pemain tersebut.Selepas itu, pemain akan kembali pulih seperti sediakala.
Selain sebagai hiburan, Kuda Kepang juga digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu dan diresapi roh orang mati.
Kuda Kepang juga perlu disimpan di tempat yang khusus. Jika tidak, roh kuda kepang akan mengamuk dan mersakkan pertunjukkan yang akan datang.
No comments:
Post a Comment