Pasangan terlanjur yang malu meletakkan bin atau binti Abdullah pada nama anak mereka boleh memilih 99 nama Allah atau Asmaul Husna untuk menggantikan nama berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata ramai yang tidak tahu perkara itu menyebabkan mereka malu menggunakan bin Abdullah dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf, bagi mengelak anak itu dikesan tidak sah taraf. "Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Anak tidak sah taraf bukan saja perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah, tetapi boleh menggunakan 99 nama Allah antaranya Abdul Rahim, Abdul Razak, Abdul Malik, Abdul Aziz dan Abdul Latif. "Jika mereka membuat pilihan ini, bukan saja makna nama itu lebih indah dan mulia, tetapi dapat mengelak daripada keturunan tidak sah apabila sewenang-wenangnya meletakkan nama individu lain sebagai bapa kepada anak luar nikah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan Berita Harian kelmarin mengenai ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf.
Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina.
Mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tahun lalu sejumlah 623 pendaftaran anak tidak sah taraf dicatatkan di seluruh negeri ini, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata tindakan pasangan terlanjur menipu tarikh pernikahan adalah tidak beretika, kerana kesan daripada tindakan itu sangat dahsyat dan merosakkan keturunan.
"Sekiranya bapa yang tidak sah mewalikan pernikahan anak tidak sah taraf, kesannya amat dahsyat dan berpanjangan. Jika pernikahan anak (tidak sah taraf) itu tidak sah, maka sepanjang keturunannya sehingga ke anak cucu tidak sah dan berada dalam zina. Malah, dalam pembahagian harta pusaka, anak tidak sah taraf juga tidak layak menerimanya,’’ katanya.
"Jangan hanya kerana malu dan mahu menutup kesilapan sendiri yang berzina hingga melahirkan anak, soal keturunan anak ini diambil mudah. Sudahlah kita melakukan dosa zina, ditambah pula dengan penipuan yang memusnahkan keturunan ini, ingatlah balasan Allah," katanya ketika dihubungi.
No comments:
Post a Comment