Showing posts with label Cerita Sedih. Show all posts
Showing posts with label Cerita Sedih. Show all posts

Sayu ~ Nenek Buta Tinggal Berseorangan Di Kampung Orang Asli


SAYU hati sepasukan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tatkala menjejakkan kaki mereka di perkampungan Orang Asli Kuala Mu, di sini baru-baru ini apabila bertemu seorang nenek buta yang hidup dalam kedaifan.

Sedih. Nenek Buta Tinggal Berseorangan Di Perkampungan Orang Asli
Apatah lagi, di kala mata mereka menyaksikan nenek itu sedang sibuk mengais saki baki beras dalam guni kosong untuk dimakan.


Hanya setelah yakin guni itu benar-benar kosong, dengan mata yang gelap gelita serta tangan tiada bertenaga, dia meletakkan guni itu ke tepi.

Bertambah pilu apabila melihat tangan si nenek teraba-raba mencari cawan, sedangkan cawan yang dicapai kosong apabila diteguk.

Penduduk setempat yang ditemui memaklumkan, usia nenek itu sudah mencecah 100 tahun dan hidupnya sebatang kara serta hanya mengharap ihsan jiran tetangga.

Kata penduduk itu lagi, dengan mata yang tidak dapat melihat sejak beberapa tahun lalu, kehidupan nenek itu sangat mencabar.

Siapa sangka ALLAH menemukan pasukan NGO terbabit dengan nenek buta itu untuk merawat hati mereka dengan sinar keinsafan dan kesyukuran di Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Untuk itu, bagi mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berhubung dengan penganjur kembara ‘Xtreme Amal 4×4’ di page rasmi Muslim Volunteer Malaysia di laman Facebook dan Instagram.

Sumber : Sinar

  

Kisah Sayu Si Tukang Kasut


Kita mungkin pernah ternampak tukang kasut di sesetengah tempat terutamanya di ibu kota atau bandar-bandar besar. Ataupun kita sesekali pernah juga menggunakan khidmat mereka. Hasil kerja mereka rata-ratanya memuaskan hati pelanggan berbanding sesetengah kedai membaiki kasut yang bertapak di kedai-kedai lot.

Kisah Sayu Tukang Kasut OKU Ini Membuatkan Kami Menitis Air Mata
Seperti biasa, lain pelanggan lainlah karenahnya. Ada yang berkira, ada yang berhutang, ada juga yang bermurah hati memberikan bayaran lebih kepada si tukang kasut walaupun mereka tidak meminta. Ianya diberi atas dasar kasihan dan simpati. 

Membaca perkongsian cerita di bawah ini, benar-benar mengusik hati jiwa kami. Entah kenapa si tukang kasut dilayan sebegitu rupa. Hina sangatkah pekerjaan mereka di mata orang kaya?

Baca kisah si tukang kasut di kaki lima yang juga merupakan seorang OKU:

Dalam perjalanan balik dari mall.
Aku menyelusuri lorong belakang mall. Hajatnya nak baiki kasut. Dah tercabut tapak.

Nampak seorang pakcik tua di kaki lima. Orang kurang upaya. Manusia normal seperti kita, cuma tanpa sepasang kaki.

Beliau tengah mengilat kasut seorang lelaki bersut pejabat. Lelaki itu berdiri. Kakinya pada papan kasut yang disediakan. Pakcik tua tekun menjalankan kerjanya.

Kami menghampiri pakcik tua tersebut. Tunggu giliran.

"Dah siap ke? Lambat betul la kiwi pun." Lelaki tu mengeluh-ngeluh.
"Dah siap, tuan." Pakcik tua memberhentikan gosokan. Lap kali terakhir kasut lelaki yang sedang berdiri tersebut.
"Tak nampak berkilat pun. Berapa?" Lelaki itu tanya harga.
"RM3.00." Pakcik itu senyum jawab.

"Gila mahal! Dahlah tak berkilat langsung!" Sambil dia mengeluarkan 3 keping note biru. Campak ke papan kasut. Baru saja pakcik mahu mengutipnya, diletakkan kembali kasut atas tangan pakcik tersebut. Pijak tangan pakcik!

Pakcik mengaduh perlahan. Nampak berkerut mukanya yang berkedut seribu.

"Kalau buat kerja tak elok, ni lah makan dia!" Lelaki tu ketawa kemudian mengalihkan kasutnya.
Berlalu dari situ.

Aku dan kawan panas hati melihat kejadian itu. Lantas aku berteriak,
"Woi tua kutuk! Kau tak ada hati perut ke pijak tangan orang tua?"
Lelaki itu berpaling. Kemudian, ketawa. Seraya angkat jari tengahnya pada kami.
"Pergi mampus kau orang semua."
Dia tak layan. Terus berlalu. Aku cuba kejar. Nak terajang beliau. Tapi segera dihalang pakcik tua.
"Sabar, nak. Tak mengapa. Tak mengapa." Pakcik tua senyum sambil pegang sebelah kakiku.

Bagaimana pakcik boleh bersabar sedangkan kami dah hilang sabar?
Kami duduk bersila di sebelah pakcik di kaki lima.

"Allah dah banyak kali sebut Allah bersama-sama orang yang sabar dalam al-Quran. Biarlah Allah yang tunjuk amarah-Nya. Amarah pakcik, amarah kamu berdua tidak sebesar amarah Allah. Murka Allah itu lebih ganas. Lebih dahsyat." Pakcik senyum lagi.

"Tapi lelaki tu dah melampau!" Aku tak puas hati. Kawanku diam gigit bibir. Tahan marah agaknya.

"Jangan marah. Ingat. Ni cuma kesakitan kecil dibandingkan dengan umat Islam di Syria, Afrika, dan lain-lain. Di Afrika, kepala orang Islam dipijak hingga lumat. Di Syria, orang Islam disembelih hidup-hidup, disiat, dirogol. Apalah sangat sakitnya tangan pakcik ni. Tak luka pun. Dah, jangan marah ya.

Ni nak baiki kasut ya?"

Aku mengangguk perlahan. Sambil serahkan kasutku. Pakcik tu segera menjalankan tugasnya. Tampal dan jahit mana yang patut. Dibersihkan kasutku hingga nampak baru.

"Siap. RM5.00."

Kawanku keluarkan note RM50. Dihulurkan pada pakcik. "Pakcik, ambillah, tak perlu berikan baki."
Pakcik tu menolak.

"Walaupun untung pakcik sehari-hari tidak banyak. Tak sampai RM50 pun sehari, tetapi pakcik bersyukur. Yakin yang sikit itulah rezeki Allah yang bersih lagi halal. Makin banyak duit di tangan pakcik, makin gelisah hati pakcik. Lagipun pakcik tak sara sesiapa melainkan diri sendiri.

Ramai orang dapat duit banyak. Dapat duit cara cepat. Dapat duit dari keuntungan modal orang bawahan, downline dan sebagainya. Tapi duit itu segera habis. Duit itu tidak berjaya menenangkan hati. Tidak berjaya melapangkan dada."

Nak tak nak, pakcik tu nak RM5 juga. Taknak RM50. Kami akur.

"Doakan pakcik. Anak-anak ni soleh. Doa orang soleh dimakbul Allah. Doakan pakcik bahagia di alam kubur. Doakan pakcik dikurnia Syurga. Pakcik bimbang, kerana pakcik tidak berdaya segera ke masjid tiap kali masuk waktu solat, selalu terlewat sebab pakcik berjalan dengan tangan. Bimbang Allah marah. Bimbang Allah hukum pakcik sebab lambat ke masjid. Tolong ya."

Pakcik senyum. Namun di matanya berkaca-kaca.
Kawanku peluk pakcik tu erat-erat. 
"Insya-Allah pakcik. Amin, amin, amin."

Kami bersalam kemudian mengucapkan selamat tinggal pada pakcik tua.
Dalam perjalanan pulang, aku terasa sungguh ke dalam hati.
Kami dikatakan soleh. Hanya kerana kami pakai kopiah.
Pakcik takut dihukum Allah kerana lambat ke masjid.
Aku langsung tidak ke masjid kecuali solat Jumaat sahaja.
Pakcik sabar. Aku sebaliknya.
Akulah bahan api neraka yang sebenarnya.
Aku.
Tak semena-mena air mata turun sendiri.
Tak mampu ditahan lagi bertakung di empangan. 
Kolam air mata ini.


Sadis~Kerana REUNION Keluarga Kami Hancur




Tidak semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup lebih bermakna.

Tidak dinafikan reunion menjadi fenomena pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat. Memang ada baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim.

Tetapi reunion juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan. Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama sebenar).

Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar. Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora. "Saya telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan dia.

Kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun. "Saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang. "Setiap tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada kelapangan.

Pendek kata keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah. "Sehinggalah hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang dihadirinya. "Saya tak kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya.

Sebelum ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan kami. "Selesai majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama pada waktu malam. "Di rumah pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan anak. "Pada hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar.

Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah. "Tidak cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan dia. "Satu hari, dia memberitahu saya untuk out station selama tiga hari.

Alasannya untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya. "Sehinggalah semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam beg pakaiannya.

Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan minum untuk dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di luar negara. "Sehari suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan. "Tapi Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di seberang. "Lalu saya teringat permintaan dia untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu.

Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami. "Saya mahu buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih kasih. "Mencari masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang saya jumpa.

Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah terbongkar. "Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata saya dengan, "saya nak abang bebaskan saya!" Berulang kali saya sebut perkara itu. "Saya tidak mahu lagi memberi dia peluang.

Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan perbuatannya. "Melihat saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya, menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan itu secara rahsia di negara jiran. "Kononnya, dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu. Mudahnya lelaki menyusun kata.

"Dalam sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah lagi. " Saya ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi lelaki. "Apa pun semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi.

Saya kecewa yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya itu. "Saya tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan saya sebagai isteri. "Sanggup pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang dia lakukan ini?

"Keluarga menentang keras keputusan saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami. "Walaupun saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin.

Saya tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak. "Saya harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya kepadanya. "Saya minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.

"Saya nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika pernah singgah di hati mereka. "Semoga Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin.’’ Nora menamatkan ceritanya. Saya turut simpati dengan apa yang Nora lalui.

Memang betul apa yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami diambil orang. Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah.

Saya setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di kemudian hari. Apa pun semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah jadi penentu.

Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah menghadapi hidup. Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara. -utusan

Sadis ~ Kisah Hidup 'Tegar' Sebelum Bergelar Artis


Kisah Sebenar Kesusahan Penyanyi Tegar 

Sesungguhnya nasib manusia tiada siapa yang tahu, ketika Tuhan menjadikan manusia itu baik di mata orang lain, maka akan diangkatnya darjat manusia tersebut yang memang orang tersebut mempunyai “kelayakan” untuk itu.
Kisah Kesusahan Tegar

Tegar lahir di Subang (Indonesia) memang mempunyai cita cita menjadi penyanyi namun lantaran keluarga yang pada saat itu mempunyai masalah ekonomi menjadikan Tegar kanak-kanak yang beridikari sendiri dan berusaha mencari rezeki dengan mengamen (pemuzik jalanan).

Ayah tiri Tegar adalah seorang buruh kasar sedangkan Ibunya adalah juga pengamen (pemuzik jalanan) di stesen Kereta Api di kawasan Pegadean. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah yang hanya berukuran sekitar 4 x 6 meter bersama 3 orang lagi adiknya yang masih kecil. Namun Tegar mengaku bahawa dia mulai menjadi pengamen (pemuzik jalanan) pada saat umur 7 tahun lagi.

Tegar dahulunya ialah sosok anak kecil remaja seperti kanak-kanak lainnya, namun nasib merubah dirinya menjadi popular dan muncul di pelbagai media. Melalui lenggok suara melayu-nya yang kental, Tegar berjaya memukau para pendengar dan penonton.

Asal Usul Tegar Boleh Terkenal :
Perkenalan Tegar ke dalam industri muzik adalah berkat dari pengaruh Youtube. Persis kisah Justin Bieber yang popular disebabkan Youtube dahulu, begitu jugalah halnya dengan Tegar.

Kisahnya bermula apabila ramai orang yang melihat pengamen jalanan kanak-kanak yang sedang asyik menyanyi di salah satu rumah makan di salah satu kota, lalu spontan beberapa penonton dari rumah makan tersebut merakam aksi tegar lalu diuplaod Youtube.

Beberapa waktu sebelum Tegar terkenal, seorang pemuda yang mengupload video Tegar tidaklah begitu menjadi pusat perhatian pengunjung di Youtube, namun pemuda tersebut sepertinya sangat menyukai bakat yang dimiliki Tegar lantas dia sempat mengupload tidak hanya 1 video Tegar bahkan beberapa video yang lain.
Seperti juga kisah Justin Bieber, seorang produser dari salah satu label rakaman yang tertarik akan bakat dan potensi Tegar lantas mengajak tegar untuk mengikuti pertandingan vokal yang sesuai dengan umur Tegar pada ketika itu yang akhirnya dimenangi oleh Tegar.

Dari sanalah pihak produser tersebut berani untuk mempromosikan tegar di pelbagai media dan berjaya menunjukkan bahawa tegar bukan hanya seorang pengamen jalanan bahkan boleh menghiburkan para penonton di seluruh Indonesia (termasuklah promosinya yang kini hangat di Malaysia).

Profil dan Biodata Tegar

Nama Lengkap : Tegar Septian
Nama Panggilan : Tegar si Pengamen
Tempat Lahir : Subang (Indonesia)
Tanggal Lahir : 19 September 2001
Pekerjaan : Pengamen
Sekolah : Kelas 3 di MI Yayasan As Salafi
Lagu-Lagu Tegar :
- Pengamen Cilik
- I Love You
- Salahkah Aku Memujamu Feat Netral
- Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang


Kisah Sebenar Kenapa Wanita Ini Memeluk Bekas Kekasihnya



Kita mungkin seringkali menyaksikan drama atau filem tempatan yang melakonkan aksi bercinta dan berkahwin dengan orang lain. Ketika majlis perkahwinan berlangsung belum pernah kita mendengar bekas kekasih datang memeluk kekasihnya di khalayak ramai. 

Kisah BENAR yang sangat TRAGIS ini menceritakan bagaimana penderitaan cinta yang tidak diperkenan oleh orang tua.

Kisah berlaku di daerah Sulawesi Selatan, Indonesia pada satu majlis perkahwinan yang dilangsungkan pada 17 Oktober lepas.

Pada tarikh tersebut seorang lelaki dikenali sebagai Rais melangsungkan pernikahannya.Antara yang hadir di hari berbahagianya itu adalah bekas teman wanita Rais dikenali sebagai Risna, 22.

Persis babak sedih dalam drama, Risna tiba-tiba tidak dapat menahan diri lalu memeluk bekas kekasihnya itu di hadapan khalayak ramai termasuk isteri Rais.

Difahamkan, Risna dan Rais telah berpacaran selama tujuh tahun tetapi kerana jodoh tiada, Rais akhirnya berkahwin dengan wanita lain.

Tindakan Risna membuat suasana majlis menjadi agak kecoh namun ada juga jemputan turut menangis menyaksikan babak drama realiti percintaan yang berlaku depan mata mereka itu.

Keluarga Rais menyatakan pihak mereka sudah pernah bertemu keluarga Risna untuk datang melamarnya bagi dijadikan isteri selepas mereka berpacaran lama, namun lamaran ditolak oleh keluarga Risna dengan pelbagai alasan.

“Jodoh di tangan Tuhan, bukan manusia yang menentukan,” jelas keluarga Rais lagi.

Gambar Risna memeluk Rais di hari perkahwinan lelaki itu yang juga bekas 
kekasihnya yang tersebar di Indonesia.Gambar Viral kisah wanita peluk bekas kekasih kini semakin popular di Malaysia.

Adakah anda fikir pasangan kekasih yang tidak mendapat restu kedua orang tua adalah sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah sosial seperti kes pembuangan bayi ? Penulis sangat bersetuju jika anda katakan semua itu berpunca dari diri sendiri. 

Sayu, Kisah Hidup Pengasas D'HERBS Sebelum Berjaya


Kisah Sayu Hidup Pengasas D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri

Saya berasal dari Pahang datang dari keluarga yang susah. Saya gemar berdikari untuk menjayakan dirinya dan enggan duduk di kepompong yang sama.

Pengalaman yang paling bermakna buat saya, saya ingin berniaga tetapi tiada duit. Angan-angan itu besar tetapi tiada duit. Duit dalam simpanan tak usah nampak seribu, ratus-ratus je yang ada. Macam mana nak berniaga? Macam mana nak buka kedai?

Dengan berbekalkan azam yang kuat, saya berniaga dengan cara apa sekali pun. Bermula dari menjual pada kawan-kawan di pejabat. Kemudian membuka gerai di pasar tani setiap minggu. Kadang-kadang, hari sabtu dan ahad saya berniaga di Pasar Tani Seksyen 13, Kelana Jaya & Sri Andalas sebab saya pantang duduk diam.

Saya terkejut dengan sambutan yang bagus bila saya menjual kosmetik. Mula-mula berniaga, dapat RM500, RM600. Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan mulut saya yang macam makcik-makcik ini, saya dapat menarik ramai pelanggan. Daripada sehari RM400, selepas 2 bulan, saya mampu meraih RM2,000 – RM3,000!

Nilai 2-3 ribu memang nilai yang mengejut bagi saya. Sebelum kita berjaya, kita jangan minta tolong orang. Kita usaha dulu!

Walaupun pinjaman saya di bank ditendang, dimaki, diherdik. Malah mereka tak pandang pun saya dan saya amat kecewa ketika itu. Saya dah buat paperwork susah-susah, dah berbulan-bulan saya buat paperwork. Tetapi pegawai bank itu hanya baling paperwork saya dan mengatakan loan saya tak lulus.



Kenapa saya punya loan tak lulus?

Jawab mereka, “awak masih mentah. awak perlukan gurantor, awak perlukan tanah, awak perlukan aset untuk buat loan dan sebagainya.”.

Saya menangis teresak-esak dan saya sedar diri saya begitu kerdil di mata mereka. Ada juga saudara terdekat yang mengatakan:

“alaa Syukri, kau tu takkan boleh berjaya. Kau tu lepasan SPM, masuk universiti pun tak lepas. Kau takkan berjaya Syukri.”

Alhamdulillah, syukur kepada Allah bila ada kawan-kawan terdekat, pelanggan-pelanggan yang memanggil saya ketika membuat bengkel kecantikan di seluruh Malaysia itu, saya hubungi mereka dan saya beritahu hajat saya ingin membuat satu jenama dan ingin berkongsi bersama beliau membantu saya.

Saya panggil mereka dan saya terangkan kertas kerja yang pegawai bank tersebut tak nak layan saya. Dan respon yang diberikan amatlah mengejutkan. Rata-rata yang menyertai mesyuarat yang saya anjurkan, semua berminat dan yakin dengan kewibawaan saya untuk membuat satu jenama.

Duit yang mereka bagi, saya jadikan pelaburan. Saya jadikan modal awal saya dan digabungkan dengan peniagaan pasar tani saya dua tahun itu, dapatlah lebih kurang RM100,000!

Sebab itu hari ini, saya amat menghargai beliau. Saya tak lupa pada Encik Putra, Puan Rohani, abah saya sendiri, Puan Linda, Puan Rina dan semua yang ada pada hari ini. Saya rasa tanpa anda semua pastinya syarikat D’Herbs tidak akan sampai ke tahap ini.

Makin kita tinggi, makin kita tunduk. Jadi saya menyeru kepada semua orang yang ada dekat sini, marilah kita berniaga. Tak kisahlah orang pandang kita apa pun, dan kita perlu bermula daripada bawah. Insha Allah, hasil yang kita berdiri di tapak kaki sendiri lebih bermakna daripada kita menumpang dari hasil orang lain.

Saya mempunyai matlamat saya sendiri untuk berjaya, tidak meniru orang lain. Nama D’Herbs akan sentiasa gah dan kuat di Malaysia ini. Itulah matlamat saya sampai bila-bila. Dan generasi saya akan membesarkan lagi legasi D’Herbs Healthy Sdn Bhd ini. Amin amin ya rabbal alamin. – My Media Hub

p/s: patutlah dapat taja Bintang Mencari Bintang. Bangga ada anak Malaysia seperti ini.. :)

Kredit: mymediahub.my

Sumber : Info Dalam Talian

Kisah Ini Membuatkan Anda Menitis Air Mata


Ini adalah kisah benar yang menyayat hati iaitu kisah seorang kanak-kanak di China yang mendapat anugerah tinggi dari kerajaannya kerana dikatakan telah melakukan “PERBUATAN YANG LUAR BIASA”.

Diantara 9 orang penerima anugerah itu, dia merupakan satu-satunya kanak-kanak yang terpilih dari 1.4 billion jumlah penduduk China kerana kesukaran hidup dan pengorbanan menjaga bapanya.

Sejak dia berusia 10 tahun kanak-kanak ini ditinggal oleh ibunya yang sudah tidak tahan hidup bersama suaminya yang sakit teruk dan sangat miskin.

Sejak itu Zhang Da, demikian nama kanak-kanak itu, hidup dengan ayahnya yang tidak bekerja, tidak boleh berjalan dan sakit-sakit. Dia terlalu kecil untuk memikul tanggungjawab yang berat itu, namun dia tetap berjuang.

Dia bersekolah dengan berjalan kaki melalui hutan kecil. Oleh kerana dia tidak bersarapan, semasa perjalanan itu dia makan daun-daun, biji-bijian dan buah-buahan yang dia temui. Dia juga mencuba memakan sejenis rumput, sehingga dia tahu mana yang masih boleh diterima lidahnya dan mana yang tidak.

Pulang sekolah, dia bekerja memecah batu-batu besar. Upah sebagai tukang pecah batu digunakan untuk membeli beras dan ubat-ubatan untuk ayahnya. Setiap hari dia mendukung ayahnya ke bilik air dan juga memandikan ayahnya. Dia membeli beras dan membuatkan bubur untuk ayahnya.

Segala urusan lain pun dia yang mengerjakannya sendirian. Ubat yang mahal dan jauh membuatkan Zhang berfikir untuk menemukan cara terbaik untuk mengubati ayahnya. Dia pun belajar tentang ubat-ubatan melalui sebuah buku bekas yang dibeli olehnya. Dia belajar bagaimana seorang jururawat memberikan suntikan. Setelah yakin dia boleh melakukannya, dia sendiri yang menyuntik ayahnya.

Ketika acara anugerah tersebut berlangsung, pengacara bertanya apa yang diinginkan Zhang Da

”Apakah wang atau lainnya. Disini ada banyak tauke, peniaga, juga ada ratusan juta penonton telivision, mereka boleh dan bersedia membantumu nak!”

Namun apa yang dikatakan Zhang Da sangat sungguh mengejutkan kepada siapapun, dia hanya berkata,

”Aku tidak mahu apa-apa, aku hanya ingin ibuku kembali!.”

Kisah di atas bukan saja mengharukan namun juga menimbulkan kekaguman. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dapat menjalankan tanggung jawab yang berat selama 5 tahun. Kesulitan hidup telah membuatkan kanak-kanak tersebut menjadi kuat dan pantang menyerah.

Zhang Da boleh dikatakan sangat berbeza dengan anak-anak kita. Dengan alasan sayang, kita selalu membantu anak-anak sudah mampu membuatnya sendiri.Ada kanak-kanak yang sudah bersekolah rendah pun masih disuap, dan memakai bajupun masih dibantu.

Juga seperti ucapan Zhang Da, pesanan kepada kita yang berumahtangga supaya menyayanyi keluarga masing-masing. Jangan kerapa pentingkan diri sendiri, kanak-kanak yang kecil dan tidak berdosa menjadi mangsa.